Isnin, 30 Mac 2009

Jamil usahawan baru Orang Asl

Berita Harian, 4 Jun 2003


SAMBUTAN dan permintaan menggalakkan terhadap burung puyuh menggerakkan seorang pengusaha Orang Asli, Jamil Umar, 38, untuk bergiat lebih cergas dalam perusahaan itu.

Kejayaan peserta tunggal Orang Asli dalam Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) itu juga harus dijadikan contoh kepada masyarakat Orang Asli lain untuk mengikut jejaknya.

Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapi ladang ternakannya di Kampung Air Rengas, Johol, dekat Kuala Pilah, bukan datang sekelip mata kerana banyak cabaran perlu ditempuhi.

"Saya terpaksa berdepan saat sukar pada awal pembabitan. Ternakan burung puyuh ini tiga kali saya buat semuanya gagal.

"Saya hampir berputus asa tetapi saya kuatkan semangat," katanya ketika ditemui.

Pada 1996, beliau dia memulakan projek penternakan burung puyuh dengan bantuan tiga pekerja di kalangan ahli keluarga dan jirannya di kampung berkenaan dengan membina reban berkeluasan 60 x 40 kaki setelah mendapat bantuan PPRT bernilai RM30,000 dalam bentuk benih anak burung, makanan dan reban.

"Bayangkanlah kalau 3,000 burung puyuh datang dan semuanya mati, siapa tak kecewa," katanya.

Setahun selepas itu, beliau kembali bangkit setelah mendapat bantuan Jabatan Haiwan, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) serta agensi lain yang terbabit secara tidak langsung.

Jamil dihantar menjalani kursus penternakan burung puyuh dengan mereka yang sudah mencapai kejayaan di Kampung Pilin, dekat Rembau.

Kini, Jamil mencapai kejayaan dalam bidang ternakan burung puyuh sehingga mampu memiliki kereta sendiri dan pendapatan yang selesa.

Beliau juga melakukan kerja kampung seperti membuat serta membaiki rumah dan menebas semak.

Sebanyak 80 peratus adalah burung puyuh dari Gred A yang boleh dijual pada harga RM1.50 seekor. Kini, dia mampu menjual sebanyak 3,000 hingga 4,500 burung puyuh bagi setiap pusingan ternakan.

Pelanggan tetapnya terdiri daripada peniaga pasar malam dari seluruh negeri ini, selain mereka yang ingin mengadakan kenduri.

Pada tahun 2000, Jamil menerima sumbangan RM30,000 untuk mengubah suai tapak penternakan supaya menjadi lebih produktif. Beliau mengubah reban kepada sistem lantai dengan membina 10 tapak lantai yang setiap satu berukuran 15 x 12 kaki.

Dengan sistem terbaru ini, beliau mampu menternak 5,000 burung puyuh berbanding 3,000 sebelum ini.

"Penggunaan sistem lantai lebih baik berbanding sistem sangkar sebelum ini kerana burung puyuh cepat membesar dan kadar kematian menurun daripada lima peratus kepada satu peratus saja bagi setiap pusingan," katanya.

Bagaimanapun, beliau masih menghadapi masalah untuk mendapatkan benih burung puyuh daripada pembekal. Jika menempah 10,000 benih, Jamil cuma mendapat 3,000 hingga 5,000 saja bagi setiap pusingan.

Jamil berharap kejayaannya dapat dijadikan teladan bukan saja kepada masyarakat Orang Asli, malah mereka yang berminat dalam bidang penternakan burung puyuh.

"Kejayaan lebih banyak bergantung kepada usaha yang gigih serta keinginan untuk berjaya," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan