Isnin, 30 Mac 2009

Tanah rizab dimajukan, 780 Orang Asli dapat rumah selesa

KHBAR / NEWSPAPER:BERITA HARIANSEKSYEN / SECTION: BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE:08-Oct-2001HARI / DAY: ISNIN
ISU / ISSUE:PERUMAHAN NEGARA/MAMPU MILIK


KESUNGGUHAN Kerajaan Pusat khususnya melalui Kementerian Pembangunan Luar
Bandar, kerajaan Selangor dan sektor swasta bagi membangunkan masyarakat
orang asli Bukit Lanjan terbukti berjaya apabila lebih 780 keluarga
penduduk asli terbabit bakal menikmati kehidupan selesa, kemudahan dan
faedah jangka panjang.
Pembangunan tanah rizab orang asli Bukit Lanjan seluas 641.1 ekar itu
bertujuan mempercepatkan kemajuan orang asli tanpa memindahkan mereka ke
kawasan lain dan memberikan faedah sosioekonomi yang lebih tinggi, sekali
gus mengurangkan pergantungan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).
Berdasarkan pakej perjanjian penyelesaian pembangunan orang asli Bukit
Lanjan yang ditandatangani pada 1996, pemaju, Saujana Triangle Sdn Bhd -
anak syarikat Kumpulan Emkay Berhad, yang diberi tanggungjawab memajukan
kawasan itu bersetuju menyediakan kediaman selesa kepada penduduk
berkenaan.
Di samping itu, mereka turut diberikan pelbagai kemudahan lain meliputi
pampasan tanah dan usaha, prasarana pendidikan, kemudahan sosial serta
jaminan sosioekonomi masa depan.
Satu perkara yang menarik dalam pembangunan tanah rizab itu ialah
masyarakat orang asli tidak dipindahkan ke tempat lain.
Lazimnya, setiap kali kerajaan ingin membangunkan tanah rizab orang
asli, penduduk di kawasan terbabit akan dipindahkan ke kawasan baru selain
diberikan pampasan.
Berikutan itu, ia mengakibatkan beberapa masalah lain seperti ketiadaan
sumber pendapatan tetap, kemudahan prasarana dan pendidikan mencukupi.
Dalam hal ini, taraf hidup masyarakat itu yang sudah dikekang dengan
pelbagai masalah seperti kewangan, pendidikan dan pembangunan tentunya
akan berterusan.
Tidak dinafikan, sehingga kini, kemiskinan di kalangan masyarakat Orang
Asli agak membimbangkan.
Kajian pendapatan isi rumah Orang Asli pada 1999 menunjukkan 50.9
peratus isi rumah Orang Asli berada dalam golongan miskin dan 15.4 peratus
pula termiskin.
Data yang ada turut menunjukkan pencapaian pendidikan Orang Asli masih
belum memuaskan. Rekod pendaftaran Orang Asli pada 1993 menunjukkan 24.7
peratus daripada jumlah isi rumah berdaftar (17,652 orang) tidak
bersekolah, sementara 58.6 peratus buta huruf (19.65 peratus ketua isi
rumah dan 80.35 peratus ahli isi rumah).
Dari segi pencapaian akademik pula, masyarakat Orang Asli juga masih
ketinggalan berbanding kaum lain. Mengikut perangkaan JHEOA, hanya 30.7
peratus masyarakat Orang Asli lulus peringkat sekolah rendah, menengah
rendah (6.6 peratus) dan menengah tinggi (0.5 peratus).
Data setakat ini menunjukkan hanya 239 pelajar Orang Asli menuntut di
institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Sehingga Disember tahun lalu, seramai 206 pelajar tamat pengajian di
IPTA dengan dua orang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana (empat),
Ijazah Sarjana Muda (57), Diploma (120) dan Sijil (23).
Perangkaan ini menunjukkan isu sosial masyarakat Orang Asli masih perlu
diberi perhatian pihak yang berkenaan.
Dalam hal ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar sudah mengenal pasti
beberapa faktor mengapa keadaan itu masih wujud walaupun negara sudah
merdeka 44 tahun lalu.
Antaranya ialah penempatan masyarakat Orang Asli yang berselerak, tidak
tersusun dan jauh daripada pembangunan.
Dalam keadaan itu, agak sukar bagi kerajaan melengkapkan kemudahan
infrastruktur dan program pembangunan pendidikan lain.
Justeru, projek pembangunan masyarakat Orang Asli yang diusahakan
Saujana Triangle Sdn Bhd ini mengajak masyarakat terbabit turut serta
dalam pembangunan setempat.
Mereka bukan saja diberi kediaman selesa dan mewah, malah jaminan masa
depan seperti pemberian rumah kepada penduduk bujang yang layak, pelaburan
Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Pendidikan Anak-Anak Orang Asli
Bukit Lanjan dan latihan kemahiran.
Menceritakan pembangunan di kawasan itu, Pengerusi Kumpulan Syarikat
Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar, berkata idea bagi membangunkan
kawasan Orang Asli Bukit Lanjan adalah cetusan daripada kerajaan Selangor
memandangkan kawasan Bukit Lanjan dikelilingi kawasan pesat membangun.
Dalam hal ini, katanya, kerajaan Selangor berpendapat bagi mengelakkan
Orang Asli Bukit Lanjan terus ketinggalan daripada arus pembangunan, maka
wajarlah tanah rizab itu dibangunkan tanpa mengurangkan penyertaan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri mempelawa syarikatnya bagi
membangunkan kawasan itu dengan mengutamakan kepentingan masyarakat
terbabit.
Mustapha Kamal berkata, berdasarkan nilaian tanah semasa iaitu RM140,000
seekar, pampasan RM91.8 juta bagi bekas tanah rizab Orang Asli Bukit
Lanjan sudah dipersetujui di antara syarikat dan kerajaan Selangor.
Katanya, pampasan ini pula akan disalurkan kepada masyarakat Orang Asli
untuk membolehkan mereka mendapat faedah sosioekonomi yang lebih maksimum.
Dalam hal ini, katanya, syarikat juga bersetuju membangunkan hampir 150
ekar tanah rizab Orang Asli lain bagi tujuan kegunaan mereka mencakupi
perumahan moden yang bersesuaian dengan kehendak Orang Asli, kemudahan
awam, tanah perkuburan dan kawasan hijau.
Bagaimanapun, kata Mustapha Kamal, setelah beberapa perbincangan di
antara syarikat dan penduduk asli, satu keputusan dipersetujui iaitu
penduduk asli mahu ditempatkan di kawasan seluas 80 ekar milik syarikat.
"Ini kerana masyarakat Orang Asli Bukit Lanjan tidak mahu ditempatkan di
kawasan tanah berbukit seluas 150 ekar yang sudah dirizabkan kepada mereka
oleh kerajaan," katanya.
Dalam hal itu katanya, syarikat sudah menyediakan 80 ekar daripada 641.1
ekar tanah bagi pembangunan masyarakat Orang Asli.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 45 ekar di kawasan tapak projek
Bukit Lanjan akan dibangunkan bagi kegunaan masyarakat Orang Asli
meliputi:
* Pembinaan 147 unit banglo.
* 130 unit rumah pangsa bagi anak bujang Orang Asli yang layak.
* Kemudahan masyarakat Orang Asli antaranya, dewan serba guna, surau,
tiga unit rumah kedai dan muzium adat.
Mustapha Kamal berkata, peruntukan tanah selebihnya iaitu 35 ekar di
Sungai Buluh pula dibangunkan dengan pelbagai kemudahan asas bagi
masyarakat terbabit iaitu:
* 147 unit rumah teres bagi pendapatan sewa.
* Kemudahan masyarakat antaranya dewan serba guna, surau dan tiga unit
rumah kedai.
* Pusat kemahiran seperti Giat Mara dan bengkel.
Sebagai balasan, katanya, kerajaan negeri bersetuju memberi milik tanah
rizab seluas 150 ekar kepada syarikat.
Bagi mengelakkan pengangguran di kalangan Orang Asli, syarikat juga
menyediakan latihan kemahiran binaan kepada masyarakat Orang Asli
membabitkan kos RM182,500.
Dalam pada itu, katanya, syarikat juga memberi peluang pekerjaan kepada
beberapa penduduk khususnya dengan menjawat beberapa jawatan dalam
syarikat Emkay Berhad.
Sesungguhnya, langkah yang dilakukan Emkay Berhad ini mampu mengajak
masyarakat Orang Asli mengecapi nikmat pembangunan setaraf dengan
masyarakat lain.
Dalam hal ini, komitmen semua pihak khususnya pemaju penting bagi
memastikan pembangunan yang dijalankan sentiasa memenuhi tuntutan
pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan