Isnin, 30 Mac 2009

Nurul pelajar Orang Asli Bandar Mas terbaik

KLUANG: Kesukaran hidup dilalui mereka sekeluarga selepas kematian bapa tiga tahun lalu, menguatkan semangat Nurul Azanah Said, 20, untuk mencapai kecemerlangan akademik seterusnya mengejar impian bergelar usahawan berjaya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu sedar, beliau tidak harus meneruskan pekerjaan tradisi keluarga di kebun kelapa sawit semata-mata, sebaliknya perlu berusaha mencapai kecemerlangan dalam hidup dengan belajar bersungguh-sungguh.

Kesungguhan Nurul Azanah, pelajar SMK Bandar Mas, Kota Tinggi, itu akhirnya berbalas apabila beliau dianugerahkan Pelajar Orang Asli Terbaik STPM 2007.


Pengumuman dibuat Pemangku Pengarah Pelajaran Johor, Ramlan Sariman, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kluang, di sini, semalam.

"Ibu memberi dorongan kuat dan keinginan untuk menebus kekecewaan pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila sekadar mendapat 2A serta niat untuk membaiki taraf hidup keluarga, membuatkan saya belajar bersungguh-sungguh.

“Syukur, kini bukan saja mendapat keputusan yang baik, malah dianugerahkan pelajar terbaik Orang Asli Johor.

"Ibu terlalu gembira dan tidak dapat menahan sebak sebaik menerima berita kejayaan ini dan saya berharap dapat melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan bagi memenuhi cita-cita menjadi seorang usahawan berjaya satu hari nanti," katanya.

Nurul Azanah berkata, sejak bapanya, Said Mohamad, meninggal dunia ketika berusia 50 tahun, mereka sekeluarga bergantung kepada ibunya, Wan Khamisah Mohamed, 49, yang mendapat bayaran RM300 sebulan sebagai peserta Felcra Kampung Sungai Layau, Kota Tinggi.

Selain itu, beliau berkata, dua kakaknya yang bertugas sebagai askar wataniah dan guru Tabika Kemas turut menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Mohd Efandi Md Yusop, 20, berkata selepas kecewa pada SPM dua tahun lalu apabila sekadar mendapat 3 B, beliau berusaha mencapai keputusan lebih baik pada STPM pula.

Kesungguhan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Ismail, Batu Pahat itu berhasil apabila mendapat 2A dan 2C pada STPM 2007, sekali gus membolehkan beliau dianugerahkan Pelajar Istimewa Terbaik Johor.

Dia yang mengidap sakit jantung berlubang sejak dilahirkan bercadang bercadang melanjutkan pelajaran di Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, Perak, bagi memenuhi impian menjadi guru.

"Jangan berputus asa, jangan tinggalkan solat lima waktu, hormat orang tua dan beri perhatian sepenuhnya ketika di dalam kelas,” katanya ketika ditanya rahsia mencapai kejayaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan