Isnin, 30 Mac 2009

Kelab In-Smartive Pelopori Inisiatif Khidmat Komuniti Bersama Masyarakat Orang Asli

Kelab In-Smartive Pelopori Inisiatif Khidmat Komuniti Bersama Masyarakat Orang Asli

Kuala Boh (Cameron Highlands), 19 Oktober - Masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Boh di sini bangga dan terharu menerima kunjungan Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim bagi merasmikan penutupan Projek Semaian Kasih anjuran Kelab In-Smartive UMP pada 19 Oktober 2008.

Dalam ucapannya Dato' Dr. Daing Nasir menekankan kepentingan projek khidmat komuniti dalam konteks pembentukan pelajar Universiti yang matang, realistik dan peka terhadap isu-isu kemasyarakatan.

Pelajar-pelajar yang kini menuntut di Universiti akan juga bermasyarakat apabila tamat pengajian kelak. Bagaimanakah mungkin mereka berupaya menjadi ejen perubah dan peneraju masyarakat dan negara jika mereka janggal dan kekok untuk bergaul dan masyarakat?, tegas beliau dalam majlis yang dihadiri oleh lebih 100 orang masyarakat setempat. Turut hadir ialah Ketua Kampung Kuala Boh, Batin Nordin Abu Bakar.

Beliau juga turut memuji inisiatif yang telah diambil oleh Kelab In-Smartive UMP yang telah mempelopori usaha memasyarakatkan pelajar Universiti ini dengan masyarakat Orang Asli di pedalaman.

Pengalaman ini hendaklah didokumentasikan supaya dapat dijadikan rujukan oleh pihak lain', ujar Dato' Daing Nasir.

Beliau juga berkata, melalui pengalaman dan pendedahan berharga melalui projek ini, kita belajar untuk memahami perbezaan cara hidup antara dua budaya dan pada masa yang sama titik persamaaan dicari di sebalik perbezaan ini untuk mengeratkan lagi kerjasama dan silaturrahim.

Sambil menyatakan bahawa projek ini diinspirasikan hasil kejayaan Saudari Maslinda Samad yang berasal dari Cameron Highlands yang merupakan anak Orang Asli pertama yang berdaftar sebagai pelajar UMP, Dato' Dr. Daing Nasir melahirkan harapan beliau supaya Projek Semaian Kasih menjadi titik tolak kepada banyak lagi projek khidmat komuniti bersama masyarakat Orang Asli pada masa akan datang oleh pelajar UMP.

Terdahulu, Dato' Dr. Daing Nasir dan isteri, Datin Hajah Fazia Ali disambut meriah oleh masyarakat setempat sebaik tiba di kampung tersebut. Sebelum majlis perasmian penutup dimulakan di Balai Raya Kampung Kuala Boh, Dato' Dr. Daing Nasir telah mencuba kebolehan menggunakan alat sumpitan yang sering digunakan oleh Orang Asli ketika berburu di hutan. Beliau turut menyempurnakan penanaman anak pokok bunga raya di perkarangan Masjid Kuala Boh sebagai simbolik kunjungan sulung beliau ke kampung tersebut.

Projek Semaian Kasih yang telah berlangsung selama tiga hari mulai 17 Oktober 2008 menyaksikan penyertaan seramai 13 pelajar dan tujuh staf UMP. Para peserta telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sepanjang projek tersebut seperti gotong-royong, penanaman pokok bunga, ceramah agama, kenduri kesyukuran dan lain-lain.

Presiden Kelab In-Smartive UMP, Saudara Abang Fairul Syarmil Abang Mohd yang ditemui berkata Projek Semaian Kasih akan diteruskan sebagai agenda berterusan kelab tersebut. 'Tanpa perhatian serius dan sokongan Naib Canselor, projek ini tidak mungkin dapat dilaksanakan', katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Semaian Kasih, Saudara Mohd Affiq Saufi Nordin pula menghargai komitmen pengurusan UMP terhadap projek khidmat komuniti seumpama ini.

'Peruntukan yang diterima daripada Pejabat Naib Canselor dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni amat besar ertinya bagi kami dalam merealisasikan pelaksanaan aktiviti ini', ujar beliau.

Salah seorang lagi peserta yang ditemui menyatakan, peluang merasai kehidupan sebenar masyarakat Orang Asli tanpa bekalan air paip dan elektrik adalah pengalaman yang amat bermakna. 'Yang paling istimewa ialah kami perlu mandi di sungai yang amat dingin seawal jam 6.45 pagi selepas solat Subuh' kata Saudara Mohd. Taqiudin Tabarani, pelajar tahun dua Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.

Pelaksanaan Projek Semaian Kasih telah mendapat sokongan dan kerjasama penuh Pejabat Naib Canselor, Pejabat Daerah & Tanah Cameron Highlands, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Pejabat Pelajaran Daerah Cameron Highlands.

Sebelum meninggalkan Kampung Kuala Boh, Dato' Dr. Daing Nasir dan isteri turut sudi melawat dan menyampaikan sumbangan barang keperluan kepada warga emas serta mengagihkan coklat dan gula-gula kepada kanak-kanak di perkampungan tersebut.

Kampung Kuala Boh yang dihuni 65 keluarga adalah salah sebuah perkampungan Orang Asli yang terletak dalam Pos Menson, Mukim Ringlet, Daerah Cameron Highlands. Perjalanan melalui laluan tanah merah dan tidak berturap menggunakan kenderaan pacuan empat roda mengambil masa sejam tiga puluh minit dari Lembah Bertam, Cameron Highlands manakala sejam dari FELDA Sungai Koyan, Kuala Lipis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan